Thursday 12 January 2012

Nota BIPPA – Isu Pemikiran Umat Pasca Pembebasan DSAI

By Anwar Ibrahim


KEBENCIAN, KEDENGKIAN, KESOMBONGAN DAN
DENDAM KESUMAT MASIH MEWARNAI SEGELINTIR PEMIKIRAN
UMAT ISLAM PASCA PEMBEBASAN DSAI.

Bagi setiap insan terdapat parameter yang menjadi panduan untuk dia berfikir dan bertindak. Seorang athies yang tidak mempercayai kewujudan tuhan, akan bertindak dalam kerangka kefahaman dan kepercayaannya itu. Begitu juga bagi kalangan yang mempercayai kewujudan tuhan, akan berfikir dan bertindak mengikut kehendak dan kepercayaan kepada arahan tuhan. Seorang muslim yang mempercayai kepada Allah sebagai Rabb (Tuhan) yang memiliki alam, mengurus dan mentadbir sewajarnya bertindak mengikut kehendak kepercayaannya itu.

Mutaakhir ini bagaimana pemikiran muslim bila bertembung dengan isu yang melibatkan hukum hakam agama ?. Kedengaran dari suara-suara tertentu yang meresahkan umat Islam, malah mengelirukan serta berlaku pelanggaran pada syariat dan lebih menyedihkan dia menyesatkan orang lain dalam tindakannya itu. Amat malang bagi kita apabila mencampuri kepentingan peribadi dan emosi bila mengungkapkan perkara yang berkaitan dengan hukum agama. Tidakkah pelik seorang yang bergelar muslim yang sepatutnya menuruti ajaran agama lantas bersedia untuk mengenepikan hukum bila berhadapan dengan isu-isu tertentu. Seharusnya agamalah yang meluruskan emosi dan peribadi seorang muslim itu.

Rujukan kes yang ingin saya utarakan adalah berkaitan dengan fitnah liwat yang melibatkan DSAI. Bukan sekadar memberikan maklumbalas kepada keputusan mahkamah yang telah membersihkan DSAI daripada salahlaku tersebut. Tetapi bagaimana seorang muslim seharusnya berfikir dalam kerangka orang yang beragama dan yang memiliki Tuhan. Apa maknanya agama jika ia bukan untuk diamalkan dan dituruti jalannya.

Pasca keputusan diterima oleh orang kebanyakan, terutamanya penyokong PR dengan gembira, kesyukuran dan sebahagian dari episod kemenangan dalam perjuangan. Namun bagi orang yang membawa emosi dan peribadi sukar untuk menerima keputusan tersebut, lantas mengeluarkan kenyataan yang jelas melampaui batas-batas hukum dan syariat yang dianutinya. Kepercayaan bahawa berlaku peristiwa liwat tersebut kekal dalam minda mereka , kerana dendam kesumat, kebencian yang sukar dinyatakan serta kesombongan diri dan dikelirukan dengan fakta palsu.

Tidak ada asas langsung untuk kelompok ini menjustifikasikan liwat telah berlaku. Pertama dari sisi agama, jelas amat rapuh, tidak ‘valid’, bertentangan dengan kaedah mensabitkan perbuatan liwat. Malah membuat tuduhan tanpa bukti yang dipinta oleh syarak patut dikenakan hukuman qazaf. Kedua, bukti di mahkamah yang cuba dimanipulasi dengan pelbagai cara dan kaedah saintifik juga ditolak. Apa lagi hujah kalau ia bukan suatu kesombongan, kebencian dan kedengkian serta dendam kesumat untuk melakukan apa sahaja, walaupun ia bertentangan dengan agama sendiri.

Saya cuba untuk membawa pemikiran pembaca untuk melihat dari sisi agama, dengan mengenepikan sentimen kepartaian dan ketaasuban. Jauh sekali untuk memaksumkan insan yang bernama Anwar Ibrahim. Kerana apabila ia melibatkan soal hukum hakam syariat, sewajibnya seorang muslim itu mengutamakan agama lebih dari segalanya. Perkara ini saya tegaskan berkali-kali dalam pertemuan, kuliah atau berbicara dengan sahabat-sahabat supaya jangan kita terlajak untuk menghukum seseorang dengan hukuman yang melibatkan syariat Allah. Termasuk kepada musuh-musuh dalam politik kepartaian. Tidak ada sebab juga untuk kita membalas serangan dan tuduhan sebagaimana kita menerima tohmahan dan fitnah dari musuh politik.

Sering saya ingatkan sahabat-sahabat, supaya menjaga lidah daripada membuat tuduhan zina atau liwat kepada musuh politik kita, kerana kita tidak ada asas dari sudut agama untuk menjustifikasikan tuduhan. Maklumat yang berupa “hear say” tidak membenarkan kita untuk membuat tuduhan yang melibatkan hukum syariat. Serangan kepada musuh politik juga mesti dipelihara adap dan batasan agama, supaya kita tidak melanggar tanpa alasan yang syarie. Kerana menuduh seorang muslim baik lelaki atau wanita yang terkenal suci melakukan zina dan liwat amat berat disisi agama.

Kesimpulan dari topik perbincangan ini, saya ingin mengajak semua muslimin dan muslimat untuk kembali ke jalan yang telah ditetapkan syariat. Sekiranya begitu kehendak syariat maka begitulah kata kita. Walaupun di hadapan kita ada musuh yang sepatutnya diganyang semahunya, namun syariat tidak membenarkan, maka patuhilah syariat. Bersifat tawaduk dan menghormati syariat mengatasi segala-galanya mudah-mudahan hidup kita penuh keberkatan dan mendapat keredhoan illahi.

Disediakan oleh :
Ahmad bin Kasim,

Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (PKR)
Ahli Parlimen Kawasan Kuala Kedah.

No comments:

Post a Comment